Thursday 29 November 2012

Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah

 Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah

 Sebagai Bahasa Perpaduan

            Bahasa Melayu bahasa perpaduan bermakna bahasa yang dijadikan lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkunga satu kelompok manusia. Fungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di dalam sebuah negara. Dengan harapan melalui pendidikan, Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perpaduan untuk menyatupadukan semua bangsa di Malaysia. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum.    .

            Menurut Hasmah Hj. Omar, 1985, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu dipandang lebih serius. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PPIP) 2006- 2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ). Melalui  PIPP, bahasa merupakan elemen yang amat penting untuk menterjemahkan hasrat membina negara bangsa. Oleh itu, bahasa Melayu telah dianggap untuk merangsang perpaduan kaum dan seterusnya menyatukan ras dan etnik di Malaysia. Hasrat ini jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran kepada negara dalam usaha mencapai matlamat wawasan 2020.

            Bagi memantapkan perpaduan, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar bagi semua sekolah di Malaysia. Ini adalah disebabkan bahasa Melayu mempunyai kekuatan untuk membina hubungan di antara pelajar yang berbilang kaum dan budaya. Perkara ini telah dinyatakan dalam Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961, yang di dalam mukadimahnya menyatakan semula tujuan dasar kebangsaan ialah untuk membina sistem pendidikan kebangsaan yang akan memenuhi keperluan negara.

            Bahasa kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dianggap menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Ia juga merupakan lambang jati diri negara dan kewarganegaraan. Fungsi bahasa Kebangsaan adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia, menegakkan perpaduan antara kaum di negara ini. Selain itu, bahasa kebangsaan juga menggalakkan pertubuhan satu corak kebudayaan yang meliputi semua aliran kebudayaan. Bahasa kebangsaan mewujudkan satu budaya, satu bangsa iaitu pembentukan budaya kebangsaan selaras dengan kehendak dan penuh dengan kesetiaan kepada negara. Bahasa kebangsaan juga sebagai alat komunikasi. Bahasa harus dikawal supaya dapat manfaat kepada manusia sebagai alat perpaduan kaum

            Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda masing-masing, jadi adalah perlu mempunyai satu bahasa bagi semua bangsa untuk berkomunikasi. Oleh itu, Bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Unibersiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai ilmu, bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Konsep Tatabahasa

1.0 Pengenalan 

            Secara amnya, tatabahasa boleh dibahagikan kepada dua bidang iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi merupakan kajian mengenai kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan. Manakala sintaksis mengkaji tentang pembentukan ayat.

             Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, morfem ialah unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu yang menjadi unsur perkataan. Sekirannya kata tidak dipecahkan kepada unit yang bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka ia merupakan satu unit atau satu morfem. Misalnya makan ”. Makan ” tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada ’ma’ dan ’kan’. Sebaliknya, kata dimakan ” boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di ” dan makan ”. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem. Morfem boleh dibahagi kepada dua iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas dapat berdiri sendiri dan mempunyai maksud sendiri manakala morfem terikat berupa bentuk imbuhan dan tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu serta boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

           Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, stuktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan cara perkataan disusun dalam ayat. Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat. Frasa ialah satu binaan atau unsur ayat yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua perkataan atau jika terdiri daripada satu perkataan, ia berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat. Subjek adalah konstituen yang sama ada terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan, yang menjadi judul atau unsur yang diterangkan. Predikat adalah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.


2.0 Huraian Konsep Tatabahasa

Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama.  Dalam Bahasa Melayu ada empat bentuk golongan kata iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.


A. Kata nama - boleh dikelompokkan kepada tiga jenis iaitu:-

i. kata nama khas
   - merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar.
   - Ia terbahagi kepada tiga:-

*      hidup manusia seperti contoh Zainal dan Suffian.

*      bukan manusia seperti Tompok, Si Belang, Jalak

*      tidak hidup contoh Kementrian Pelajaran Malaysia, Myvi, Pasar Seni.

ii. kata nama Am 
   - benda-benda atau perkara yang umum sifatnya.
   - Ia terbahagi kepada dua iaitu:-

*      kata nama Am Astrak - bukan berkonsepkan kebendaan, contohnya roh, angin, keamanan.

*      kata nama Am Konkrit - berkonsepkan kebendaan contohnya hospital, kawan, kakak.

iii.kata Ganti Nama – Terbahagi dua

*      Kata ganti nama tunjuk - berfungsi merujuk kepada sesuatu perkara atau benda

*  Kata ganti nama diri - menjadi pengganti nama sesuatu benda, perkara atau manusia. Ia terbahagi kepada:
- kata ganti nama diri tanya- menanyakan hal benda, perkara atau manusia 
- kata ganti nama diri orang- merujuk kepada manusia yang terdiri         
- kata ganti diri pertama (saya), kedua (kamu) dan ketiga (dia)


B. Kata kerja dapat dibahagikan seperti berikut:-

*   Kata kerja Transitif - Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh objek bagi melengkapkan maksud dan objek yang mengikuti. Ia terbahagi kepada :-
- Kata Kerja Transitif Aktif -kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan menerima awalanmeN’ dengan atau tanpa akhirankan’ atau i ’. Contohnya Mastura mencuci pakaian di dalam bilik air.

- Kata Kerja Transitif Pasif -berfungsi dalam ayat pasif. Kata kerja yang terhasil dari proses transformasi ayat aktif menjadi ayat pasif akan mewujudkan kata kerja transitif pasif.
Contohnya: Pakaian dicuci oleh Mastura. 


*      Kata Kerja Tak Transitif - tidak memerlukan objek atau pelengkap selepasnya. Terbahagi kepada dua iaitu:-

Ø  kata kerja tak transitif tak berpelengkap

- bentuk kerja yang paling ringkas,Kata kerja jenis ini boleh terdiri daripada kata kerja dasar dan dengan imbuhan awalan. Contohnya : terbang, tidur, berlari, berenang. Kata kerja tak transitif dapat dikenali dengan bertanya apa selepas kata kerja itu. Sekiranya tidak ada jawapan, maka kata kerja itu adalah kata kerja tak transitif kerana ia tidak ada objek, contoh : Burung terbang. ~ terbang apa ? ( tiada jawapan ) Adik berlari. ~ berlari apa ? ( tiada jawapan )


Ø  -Kata kerja transitif berpelengkap -perlu diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Jika pelengkap dalam ayat tidak ada, ayat itu menjadi tidak gramatis.  

-Terdapat beberapa jenis pelengkap iaitu

- Waktu dengan contoh Ali duduk sejak tadi.

-Tempat dengan contoh: Kakak duduk di atas kerusi,

-Sebab dengan contoh: Dia duduk kerana letih.


C.Kata sifat/adjektif 
- Perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif.                                       
- Menceritakan sifat benda (kata nama) dan sifat perbuatan (kata kerja)  
- dibahagikan kepada sembilan berdasarkan kriteria makna.  

·         Kata Sifat Keadaan - memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contohnya orang jahat, budak pintar.
·         Kata Sifat Warna - makna warna untuk menerangkan kata nama. Contohnya : langit biru, bibir merah.
·         Kata Sifat Ukuran - menyatakan ukuran kata nama dengan contoh perahu panjang, pokok renek.
·      Kata Sifat Bentuk yang menerangkan mengenai bentuk kata nama dengan contoh jalan bengkok, mata bulat.
·        Kata Sifat Jarak menerangkan kata nama dari segi ruang.Contoh jalan pintas, kawan jauh.
·        Kata Sifat Waktu - konsep masa sebagai unsur keterangan. Contohnya : makanan segera, rumah baru.
·       Kata Sifat Cara membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama.Contoh air deras, hujan lebat.
·        Kata Sifat Perasaan - memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama.Contoh suka akan, penuh ragu.
·        Kata Sifat Pancaindera - memberi makna rasa, pendang, dengar, bau dan sentuh. Contohnya makanan lazat, lelaki tampan, suara merdu, minyak wangi, kulit licin.

-Terdapat beberapa cara yang boleh membantu untuk mengenal pasti kata sifat iaitu kata sifat boleh berganding dengan kata penguat seperti amat dan paling, sama ada diletakkan di hadapan kata sifat atau diakhirnya.  kata sifat diberi imbuhan ter dan  ’se .

D. Kata Tugas
- mempunyai tugas yang mustahak di dalam ayat.
- tidak mempunyai makna tetapi ia digunakan dalam ayat dan frasa 
- untuk menjalankan sesuatu tugas tatabahasa.
- Fungsinya sebagai penghubung, penentu, penguat, pedepan,pembantu, penegas, penafi, pembenar, penanya dan penyeru. 
- Terdapat 16 jenis kata tugas iaitu kata hubung, kata penegas, kata tanya, kata nafi, kata seru, kata pemeri, kata perintah, kata sendi nama, kata pembenar, kata arah, kata pengkal ayat, kata bilangan, kata bantu, kata penekan, kata penguat dan kata pembenda.

Tuesday 27 November 2012

Kesalahan Penggunaan Tatabahasa



1.0Analisis Kesalahan Penggunaan Tatabahasa oleh Murid di dalam Bilik Darjah

Dalam konteks pendidikan bahasa Melayu di Malaysia, kajian tentang penguasaan bahasa terutama bagi kalangan pelajar menggunakannya sebagai bahasa kedua sering dilakukan oleh para penyelidik. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sering menimbulkan masalah dalam penggunaan tatabahasa yang betul. Di bawah menunjukkan kesalahan yang sering timbul di kalangan pelajar.

 
1. Kesalahan Penggunaan Kata Sendi 

             Kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah sentiasanya tidak dapat membezakan antara kata sendi nama yang berikut:-

v  di ...

Contoh :  disekolah, dipasar, diJohor,disamping      (salah)

                             di sekolah, di pasar, di Johor, di samping. (betul)

 

v  ke

Contohnya: keMelaka, kepadang, kesana   (salah)

                                 ke Melaka, ke padang, ke sana (betul)

 

v  dari dan daripada

            Selain itu, para pelajar tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada.

            Contoh  : -Perabot itu diperbuat dari kayu jati.(salah)

                            -Abang saya baru pulang daripada Kuala Lumpur. (salah)

                            -Perabot itu diperbuat daripada kayu jati.(betul)

                            -Abang saya baru pulang dari Kuala Lumpur. (betul).

 

v  pada dan kepada

- Pada berperanan sebagai kata sendi di bagi manusia, haiwan, perkara dan benda

Contoh : Surat itu dikirim pada Encik Bean.  (salah)

               Surat itu dikirim kepada Encik Bean.  (betul)

 


2.Kesalahan kata ganda

 

v  Mengulang kata atau menggunakan kata ganda selepas kata bilangan jamak.

Contoh:  semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli  (salah)

               semua guru, segala alat, kebanyakan ahli.  (betul)

 

v  Tidak menggandakan kata bilangan himpunan

Contoh: beratus orang, beribu penonton, berguni padi   (salah)

              beratus-ratus orang, beribu-ribu orang dan berguni-guni padi   (betul)

 

v  Kata ganda bersajak / berima

mengalami perubahan bunyi dengan memberikan kata gandaan yang berbeza daripada kata dasarnya. Kata ganda bersajak ini diberi tanda sempang ( - )

Contoh : membeli belah, batu batan, kuih muih, sayur mayur  (salah)

               membeli- belah,  batu-batan, kuih-muih, sayur-mayur  (betul)

 

v  menggandakan kata selepas saling ( kesalahan berbentuk lewah ).

Contoh:   saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan (salah)

                 saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan. (betul)

 

v  Kata yang tidak perlu digandakan

             kata‘pelbagai’ sudah melambangkan banyak dan tidak memerlukan kata ganda       Contoh : ...dan juga pelbagai-bagai kenangan... (salah)

                                    ...dan juga pelbagai kenangan...  (betul)

 

v  kata ganti nama tidak boleh digandakan

-kecuali tuan / puan, saudara/ i , encik.

Contoh : Mereka-mereka semua sedang tidur. ( salah )

               Mereka semua sedang tidur. ( betul )

 

 
3.Kesalahan penggunaan imbuhan

 

v  Penggunaan imbuhan – kaN di tempat kata bantu akan

Contoh: sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan

              sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan.

 

v  Tidak menjarakkan imbuhan pinjaman

Contoh: juru taip,  ko kurikulum,  pasca moden,  anti dadah, pro pembangkang (salah)

              jurutaip,  kokurikulum,  pascamoden, antidadah,  propembangkang (betul)

 

v  Tidak menggunakan imbuhan pada kata yang memerlukan

Contoh:  a. Saya tidak dapat buat apa-apa.....

               b. Saya terpaksa meninggal sekolah ini kerana......

               c.  .....peluang emas bagi ayah saya

Contoh yang betul

               a. Saya tidak dapat berbuat apa-apa.....

               b. Saya terpaksa meninggalkan  sekolah ini kerana......

               c.  .....peluang keemasan bagi ayah saya.

 

v  Penggunaan imbuhan meN

Menggunakan imbuhan meN dengan salah

Contoh : memperhebatkan, memperolehi, menggalakan, merbahaya  (salah)

               memperhebat, memperoleh , menggalakkan, berbahaya   (betul)

 
 

4. Kesalahan Struktur Ayat

i) Ayat gabungan
- Ayat gabungan terbentuk daripada dua atau beberapa ayat tunggal yang dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, serta, tetapi, lalu, sambil, kemudian, dan sebagainya.
- Kesalahannya berlaku semasa ayat-ayat tunggal yang membentuk ayat gabungan tidak digabungkan dengan betul.
Contoh: a.Lina akan melancong ke Sarawak atau Sabah? (salah)

                 Lina akan melancong ke Sarawak atau Sabah? (betul)
             

              b.Hadiah ini untuk Zul bukan Zainal. (salah)

                 Hadiah ini untuk Zul bukan untuk Zainal. (betul)

 

 

ii)Ayat Pancangan

  - Ayat yang berasal daripada dua ayat tunggal yang salah satunya dipancangkan pada ayat yang satu lagi.

-Kesalahan berlaku apabila unsur penerang dalam ayat tersebut salah strukturnya.

 

Contoh: Rumah besar itu di atas bukit tidak ada penghuninya.  (salah)

              Rumah besar di atas bukit itu tidak ada penghuninya.  (betul)

 

-Kesalahan berlaku juga kerana tidak ada kata hubung pancangan yang menghubungkan klausa bawahan dengan klausa utama.

 

Contoh: Semua orang tahu dialah yang mencuri wang Lian.  (salah)

              Semua orang tahu bahawa dialah yang mencuri wang Lian. (betul)

 

iii)Ayat Tergantung

-Ayat mesti terdiri daripada subjek dan predikat.

-Dalam susunan ayat biasa, letak subjek di depan dan letak predikat di belakang.

-Dalam susunan ayat songsang, letak subjek di belakang dan predikat di depan.

-Kesalahannya adalah tidak mempunyai subjek atau predikat.

 

Contoh : a. Di seluruh negara dilanda banjir.  (salah)

                   Seluruh negara dilanda banjir.  (betul)

 

               b. Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis ini. (salah)

                   Kehadiran tuan akan menyerikan majlis ini.  (betul)

iv. Ayat yang Tidak Betul Susunannya

-Ketika kata-kata tidak betul susunannya, maka bentuk bahasa menjadi salah atau tidak baku.

Contoh : a. Ini hari Zul tidak hadir.    (salah)

                   Hari ini Zul tidak hadir.    (betul)

 

               b. Saya emak di pasar raya membeli-belah.   (salah)

                   Emak saya membeli-belah di pasar raya.   (betul)

 

 

2.0 Rumusan

 

Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua bagi sekolah SJK C. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu seering menimbulkan masalah dalam lisan mahupun penulisan. Para pelajar bukan sahaja melakukan kesalahan-kesalahan morfologi sintaksis. Gejala ini berlaku disebabkan bukan Melayu misalnya selalu berfikir dalam bahasa ibunda mereka sebelum mereka melafazkan dalm bahasa Melayu.Akibatnya mereka telah menggunakan bahasa Melayu dalam bentuk yang berbagai-bagai ragam tetapi bukan dalam bentuk bahasa Melayu yang sebenar.

Sebagai bahasa kedua, pelajar-pelajar sering menggunakan model-model struktur bahasa ibunda mereka untuk menyerapkannya dalam struktur bahasa Melayu yang dipelajari. Hal ini menyebabkan mereka selalu melakukan kesalahan. struktur ayatnya bahasa Cina memang berbeza dengan sturktur bahasa Melayu.Oleh itu, dari segi ayat-ayat atau kalimatnya pelajar sering melakukan kesalahan. Ini selalu ditemui semasa pelajar-pelajar itu bertutur, apatah lagi sewaktu mereka menulis.

Kesalahan juga sering berlaku dalam bidang sintaksis. Ini dapat dari segi pemakaian imbuhan dalam ayat. Pelajar sering menyalahkangunakan atau tiada imbuhan dalam ayat-ayatnya. Selain itu, pengaruh bahasa dialek juga mempengaruhi pertuturan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Kesimpulannya, cara pertuturan seseorang mempengaruhi cara penulisannya dalam bahasa Melayu. Kesalahan-kesalahan sedemikian boleh diatasi jika guru berusaha memberikan latihan-latihan intensif kepada pelajar-pelajar.