Monday 3 December 2012

Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.


Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

            Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi awam. Akta Pendidikan 1996, perkara 17 yang menyatakan bahawa bahasa Kebangsaan perlulah menjadi pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan  kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini telah menampakkan kepentingannya.

            Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita telah menunjukkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan ilmu. Apabila bahasa ini digunakan maka bahasa Melayu dapat mengisi erti pendemokrasian pendidikan kerana sebahagian besar rakyat mendapat ilmu melalui satu bahasa sahaja. Langkah ini diambil bagi merapatkan jurang pendidikan kerana kita sudah mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang sama bagi semua rakyat. Dengan penggunaan bahasa kebangsaan proses penyampaian ilmu kepada masyarakat bertambah mudah dan berkesan. Kejayaan hasil daripada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila ratusan ribu ahli ilmu, korporat, professional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang telah berjaya dihasilkan setelah Akta Pendidikan ini diwartakan. Aspek kejayaan sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana kesatuan sikap, pemikiran. Sistem nilai dalam kalangan generasi muda kita. Selain daripada itu, kejayaan dan kepentingan semua ini dapat dilihat oleh pihak sekolah yang berperanan mengajar generasi masa kini bahasa Melayu. Melalui bahasa Melayu juga prasangka buruk antara kaum dapat dielakkan.

            Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kandungan Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi kuasa untuk menggubal dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjelaskan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku-buku yang sama dengan sekolah swasta. Penggunaan buku-buku teks dalam bahasa Melayu dan Pustaka bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sastera, Sejarah dan sebagainya merupakan salah satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam bidang pendidikan. Pada masa kini, Dewan Bahasa dan Pustaka semakin mencabar iaitu bagaimana hendak meluaskan lagi penggunnaan serta memperkukuhkan bahasa Melayu daripada rakyat Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai tempat rujukan bagi para pelajar dan golongan pendidik untuk mempelajari bahasa Melayu. Ia turut memperkenalkan perkataan-perkataan baru bersertakan pengertiannya. Melalui media massa, DBP menyalurkan maklumat terbaru kepada umum .

            Bahasa Melayu merupakan salah satu jati etnik dan memberi takrifan sebagai komuniti bahasa. Komunikasi bahasa diertikan sebagai kelompok manusia yang menuturkan bahasa yang sama. Dalam erti kata lain, sekumpulan manusia diterima sebagai komuniti bahasa jika ahli kumpulan itu menggunakan satu bahasa yang sama di dalam hubungan komunikasi mereka. Komuniti am pula adalah sekumpulan masyarakat yang berketurunan sama dan berkongsi nilai-nilai yang sama. Manakala komunikasi bahasa pula merupakan sekumpulan manusia yang berkongsi bahasa yang sama. Bahasa Melayu turut melambangkan kesantunannya. Peningkatan ilmu dan penggunaannya boleh dijadikan pengukur kepada kesantunan bahasa Melayu tersebut. Bahasa Melayu mencakupi ciri-ciri dan nilai-nilai ketimuran berbahasa seperti bersifat budi bahasa, beradab dan memiliki nilai-nilai itulah yang telah dicuba untuk diterapkan dalam kehidupan rakyat yang berbilang bangsa, iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu serta mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat jelas semasa musim perayaan. Tradisi kunjung-mengunjung antara jiran yang berbilang kaum dengan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Begitu juga amalan bergotong-royong, menghadiri majlis perkahwinan dalam budaya pelbagai kaum serta sambutan rumah terbuka yang diadakan di tempat masing-masing. Amalan bergotong-royong dalam masyarakat menunjukkan sikap bermasyarakat yang baik. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Melayu iaitu bahasa yang mudah difahami. Bahasa Melayu turut dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum yang berbilang bangsa. Dengan menguasai komunikasi berbahasa ini, hubungan yang baik akan mudah terjalin. Amalan hormat-menghormati dan sikap toleransi antara kaum perlu diamalkan sekiranya kita ingin melihat perpaduan terlaksana.

 

No comments:

Post a Comment