Thursday, 29 November 2012

Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah

 Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah

 Sebagai Bahasa Perpaduan

            Bahasa Melayu bahasa perpaduan bermakna bahasa yang dijadikan lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkunga satu kelompok manusia. Fungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di dalam sebuah negara. Dengan harapan melalui pendidikan, Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perpaduan untuk menyatupadukan semua bangsa di Malaysia. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum.    .

            Menurut Hasmah Hj. Omar, 1985, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu dipandang lebih serius. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PPIP) 2006- 2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ). Melalui  PIPP, bahasa merupakan elemen yang amat penting untuk menterjemahkan hasrat membina negara bangsa. Oleh itu, bahasa Melayu telah dianggap untuk merangsang perpaduan kaum dan seterusnya menyatukan ras dan etnik di Malaysia. Hasrat ini jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran kepada negara dalam usaha mencapai matlamat wawasan 2020.

            Bagi memantapkan perpaduan, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar bagi semua sekolah di Malaysia. Ini adalah disebabkan bahasa Melayu mempunyai kekuatan untuk membina hubungan di antara pelajar yang berbilang kaum dan budaya. Perkara ini telah dinyatakan dalam Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961, yang di dalam mukadimahnya menyatakan semula tujuan dasar kebangsaan ialah untuk membina sistem pendidikan kebangsaan yang akan memenuhi keperluan negara.

            Bahasa kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dianggap menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Ia juga merupakan lambang jati diri negara dan kewarganegaraan. Fungsi bahasa Kebangsaan adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia, menegakkan perpaduan antara kaum di negara ini. Selain itu, bahasa kebangsaan juga menggalakkan pertubuhan satu corak kebudayaan yang meliputi semua aliran kebudayaan. Bahasa kebangsaan mewujudkan satu budaya, satu bangsa iaitu pembentukan budaya kebangsaan selaras dengan kehendak dan penuh dengan kesetiaan kepada negara. Bahasa kebangsaan juga sebagai alat komunikasi. Bahasa harus dikawal supaya dapat manfaat kepada manusia sebagai alat perpaduan kaum

            Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda masing-masing, jadi adalah perlu mempunyai satu bahasa bagi semua bangsa untuk berkomunikasi. Oleh itu, Bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Unibersiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai ilmu, bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

No comments:

Post a Comment