Kadar kemalangan jalan raya semakin
meningkat di negara ini.Tuliskan sebuah karangan tentang
langkah-langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Sejak kebelakangan ini,
kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat. Banyak nyawa terkorban dalam tragedi
tersebut. Oleh itu, kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya.
Antara
langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan
memberi didikan tentang pengetahuan dan kepentingan mematuhi peraturan jalan
raya kepada murid-murid sejak kecil lagi. Contohnya melalui mata pelajaran
PKJR, murid-murid diajar tentang maksud simbol-simbol pada papan keselamatan
jalan raya dan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil ketika berada di
jalan raya. Ini dapat meningkatkan kesedaran murid-murid tentang kepentingan
menjaga keselamatan jalan raya.
Seterusnya,
kita haruslah memupuk amalan mematuhi peraturan jalan raya dalam kalangan
murid-murid. Misalnya ketika berbasikal, murid-murid hendaklah mengayuh basikal
dalam satu barisan dan tidak bersaing. Ini dapat mengelakkan diri mereka
daripada dilanggar oleh kenderaan.
Selain itu, kita hendaklah menjadi pengguna jalan raya
yang berhemah dan bertolak ansur. Contohnya para pemandu hendaklah sentiasa berwaspada
dan perlahankan kenderaannya ketika melalui kawasan sekolah terutamanya pada
waktu sibuk. Pada waktu inilah, kanak-kanak sekolah biasanya akan bersikap cuai
dan tergesa-gesa untuk melintas jalan raya. Apabila pemandu perlahankan
kenderaannya, maka kanak-kanak sekolah dapat melintas dengan selamat.
Sesungguhnya, setiap pengguna jalan raya hendaklah
mengamalkan langkah-langkah keselamatan jalan raya untuk mengelakkan kemalangan
daripada berlaku kerana malang tidak berbau. Besarlah harapan kita untuk
berganding bahu agar dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
No comments:
Post a Comment