Wednesday, 5 December 2012

Contoh Karangan 3 - Kebaikan dan keburukan menonton televisyen


Tulis sebuah karangan tentang kebaikan dan keburukan menonton televisyen


Televisyen  merupakan salah satu media elektronik yang amat berpengaruh kepada masyarakat masa kini.  Hampir di setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen. Namun, pernahkah kita terfikir akan kebaikan dan keburukan televisyen ini kepada kita semua?

Menonton televisyen memberikan kita beberapa kebaikan. Antaranya dapat menyampaikan maklumat terkini di dalam dan luar negara serta menambah ilmu pengetahuan kita. Contohnya melalui rancangan berita, sukan, perubatan dan National Geografic. Dengan ini, segala maklumat dapat diperoleh dalam masa yang singkat dan lebih berinformasi.

Selain itu, menonton televisyen juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan juga menyampaikan kehendak rakyat kepada kerajaan. Misalnya, program Bersamamu dan Aduan Rakyat oleh pihak TV3. Melalui program ini, kita dapat membantu mereka yang memerlukan. Begitu juga permasalahan yang berlaku kepada penduduk dapat disuarakan kepada pihak berwajib untuk tindakan yang sewajarnya.

Menonton televisyen juga membawa keburukan kepada kita terutamanya kanak-kanak. Mereka banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen. Contohnya mereka leka menonton rancangan-rancangan kartun dan hiburan. Akibatnya mereka mengabaikan pelajaran dan hubungan sosial di persekitaran kediaman mereka tidak berkembang.

Di samping itu, penonton juga mudah terpengaruh dengan apa yang dipaparkan melalui televisyen.  Mereka mudah terpengaruh dengan iklan-iklan dan aksi-aksi yang ganas. Dengan itu, mereka mudah meniru dan akan menjurus kepada keruntuhan akhlak mereka.

 
Kesimpulannya kita hendaklah pandai dalam memilih program-program
yang hendak ditonton. Fikirkanlah kebaikan dan keburukan serta kesan-kesannya kepada kita bukan sahaja dalam jangka masa pendek  tetapi juga dalam jangka masa panjang.

18 comments: